Selasa, 31 Mei 2016

Kejutan Bernhardt

Firdaus Hashim firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyenaraian semula tonggak Kedah, Farhan Roslan ke dalam skuad akhir 27 pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di saingan Piala Negara-Negara bermula Jumaat ini, antara kejutan dibuat pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt semalam.


Farhan yang diketepikan daripada menyertai latihan pusat sepanjang minggu lalu kerana kecederaan pangkal paha kembali mendapat kepercayaan Bernhardt selepas pakar fisioterapi mengesahkan pemain tengah itu sudah pulih sepenuhnya.

Katanya, selain mengumumkan semula kehadiran ‘Messi Kedah’ itu, beliau turut mengumumkan pengguguran enam pemain daripada senarai asal 33 pemain dengan pemain Pahang, Shah Amirul mengalami kecederaan lutut.

“Kami ada sedikit kejutan kerana Farhan disahkan pulih daripada kecederaannya oleh fisio pasukan, manakala Amirul pula mengalami kecederaan lutut.

“Kami turut menerima laporan Shah tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu,” katanya semalam.

Selain Shah, lima lagi pemain yang terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam Piala Negara-Negara ialah R Kogileswaran (Frenz United), N Thanabalan (Negeri Sembilan), Faizzudin Abidin (Selangor), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu II) serta G Thipenraj (MISC-MIFA).

“Saya menaruh kepercayaan terhadap semua pemain dan saya lihat mereka mempunyai kualiti yang baik.

“Namun, saya perlu katakan kami sudah mengadakan banyak latihan pusat dan perlu mengulang semula latihan dari aspek taktikal bagi membolehkan pemain kembali serasi dengan corak permainan yang diterapkan.

“Objektif kami bagi kejohanan ini ialah untuk menang. Bagaimanapun, kami perlu pastikan integrasi pemain baharu berjalan lancar bagi memperoleh gambaran lebih jelas mengenai kesebelasan terbaik,” tambahnya.

Malaysia bakal memulakan kempen kejohanan empat penjuru yang turut membabitkan Thailand dan Vietnam dengan menentang Singapura di Stadium Hang Jebat, Melaka, Jumaat ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 9:33 AM
 

FARHAN (tengah) tidak menyertai latihan pusat minggu lalu akibat kecederaan pangkal paha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan